COVID-19: Rumah Pengasih Warga Prihatin hasilkan pelindung muka untuk barisan hadapan

Menyedari petugas barisan hadapan memerlukan peralatan perlindungan diri dalam menangani wabak COVID-19, Rumah Pengasih Warga Prihatin mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka untuk golongan itu.
Ilham menghasilkan pelindung muka itu tercetus selepas mendapat permintaan daripada Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET).
Sukarelawan Rumah Pengasih Warga Prihatin, Afiq Manaf.
Sukarelawan Rumah Pengasih Warga Prihatin, Afiq Manaf.
Sukarelawan rumah kebajikan itu, Afiq Manaf, menjelaskan pihaknya bersetuju memenuhi permintaan IMARET dan menggerakkannya melalui Projek Pelangi.
“Projek Pelangi adalah kempen pendanaan awam bagi membantu mereka yang memerlukan seperti bantuan bekalan makanan, pakaian raya, pakaian sekolah dan bantuan perubatan.
“Minggu lalu, mereka (IMARET) menempah 2,000 unit dan kemudian 10,000 unit. Hari ini, kami mampu menyiapkan semua dan menyerahkan baki 4,000 unit kepada mereka.
“Kira-kira 50 penghuni rumah ini terbabit dalam menghasilkan pelindung muka berkenaan. Kapasiti pengeluaran projek ini melonjak kepada 3,000 unit sehari.
“Ia dibuat sepenuhnya di rumah Pengasih tanpa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya kepada BH, hari ini.
Rumah Pengasih Warga Prihatin mendapat ilham menghasilkan pelindung muka untuk barisan hadapan menangani COVID-19 selepas mendapat permintaan daripada IMARET. - NSTP/Ihsan Rumah Pengasih Warga Prihatin
Rumah Pengasih Warga Prihatin mendapat ilham menghasilkan pelindung muka untuk barisan hadapan menangani COVID-19 selepas mendapat permintaan daripada IMARET. - NSTP/Ihsan Rumah Pengasih Warga Prihatin
Rumah Pengasih Warga Prihatin adalah rumah anak yatim dan golongan asnaf yang beroperasi sejak hampir 15 tahun lalu di Sungai Ramal, Bangi.
Ia melindungi dan membiayai kehidupan kira-kira 100 anak yatim dan asnaf yang memerlukan tempat bernaung untuk meneruskan kehidupan.
Menjelaskan lanjut, Afiq berkata, pihaknya kini menggandakan penghasilan pelindung muka selepas menerima tempahan daripada pihak yang mahu menderma kepada petugas barisan hadapan menangani COVID-19.
“Kami menggunakan material berkualiti yang dihasilkan oleh syarikat tempatan. Pelindung muka yang kami hasilkan boleh digunakan hingga tiga kali. Ketebalannya ialah 0.4 milimeter (mm).
“Pelindung muka yang kami hasilkan ini juga lebih selesa digunakan kerana mempunyai lapisan span pada bahagian dahi,” katanya.
Beliau berkata, penghuni rumah kebajikan itu gembira melakukan aktiviti berkenaan.
“Di samping dapat mengisi masa lapang, projek ini dapat memberikan pendedahan pendidikan dan pengalaman kepada mereka dalam bidang pembuatan serta pengilangan,” katanya.
Beliau berkata, dana dan sumbangan diperoleh menerusi penghasilan pelindung muka itu dapat digunakan untuk menampung kos rumah kebajikan berkenaan.
“Projek Pelangi ini menyasarkan penghasilan 100,000 unit pelindung muka. Kini kami berjaya menghasilkan sebanyak 15,000 unit.
“Sumbangan orang awam mampu menggandakan lagi pengeluaran bagi memenuhi keperluan petugas kesihatan yang semakin mendesak,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut dihubungi Kerajaan Selangor dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang memerlukan alat pelindung muka tambahan untuk dibekalkan kepada petugas barisan hadapan menangani COVID-19.
Pihaknya juga bersedia meningkatkan penghasilan pelindung muka jika terdapat permintaan daripada penderma yang mahu membekalkannya ke hospital seluruh negara.
Katanya, mereka yang mahu menyumbang projek berkenaan boleh melayari laman sesawang: www.projekpelangi.com.