Projek mega diluluskan sebelum ini akan diteruskan - PM

PAGOH: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beberapa projek mega yang diluluskan sebelum ini dan tidak memerlukan bajet tambahan akan diteruskan.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan projek mega itu bukan saja memberi peluang pekerjaan kepada rakyat, malah dapat menjana semula ekonomi negara yang terjejas teruk akibat wabak COVID-19.
"Satu daripada strategi untuk menyediakan peluang ekonomi yang lebih banyak adalah meneruskan projek mega atau raksasa yang sudah diputuskan dahulu namun tidak membabitkan pertambahan peruntukan.
"Contohnya projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang membabitkan perbelanjaan RM40 bilion dan ada lagi beberapa projek yang diluluskan dahulu dan tidak memerlukan perbelanjaan baharu, ..tidak akan dihentikan.
Terowong Dungun sepanjang 871 meter panjang adalah antara pakej dalam ECRL. - Foto fail NSTP/Ghazali Kori
Terowong Dungun sepanjang 871 meter panjang adalah antara pakej dalam ECRL. - Foto fail NSTP/Ghazali Kori
"Ia termasuk Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang kita tetapkan sebuah daripada perhentiannya di kawasan Hub Pendidikan Pagoh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi dialog bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Pagoh, di Dewan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh.
Pada 30 Mei lalu, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata Malaysia dan Singapura bersetuju menyambung semula perbincangan mengenai projek infrastruktur HSR dalam masa terdekat.
Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai selepas kedua-dua belah pihak bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan keputusan mengenai projek berkenaan hingga 31 Disember 2020.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan dilaporkan berkata, Malaysia meminta melanjutkan penangguhan cadangan kereta api laju KL-Singapura susulan tempoh akhir 31 Mei 2020.
Ia bagi membuat keputusan sama ada untuk melaksanakan projek berkenaan atau sebaliknya.
Pada September 2018, Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian untuk menggantung secara rasmi kerja pembinaan rel sepanjang 350 kilometer itu sehingga Mei 2020.
Muhyiddin berucap pada Majlis Perjumpaan Khas bersama Kepimpinan Masyarakat Dalam Kawasan Parlimen Pagoh, di Dewan IKTBN Pagoh. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Muhyiddin berucap pada Majlis Perjumpaan Khas bersama Kepimpinan Masyarakat Dalam Kawasan Parlimen Pagoh, di Dewan IKTBN Pagoh. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin